Wednesday, August 25, 2010

KASIH SAYANG

Kasih sayang umpama tali yang mengikat hati-hati manusia. Apabila wujudnya kasih sayang, perasaan kemesraan akan lahir dan kesejahteraan dalam hidup akan wujud. Lain kata, kasih sayang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan makhluk yang melata di muka bumi ini. Setiap kehidupan makhluk tidak kira insan manusia atau haiwan memerlukan kasih sayang, cuma tahap kasih sayang yang membezakan antara satu sama lain. Nilai kasih sayang perlu dipupuk dalam kalangan individu, keluarga dan masyarakat untuk mencapai konsep 1Malaysia.

Peranan yang paling penting adalah dimainkan oleh setiap individu itu sendiri, mereka perlu sematkan nilai-nilai kasih sayang dalam diri dan sentiasa bersedia memikul peranan dan tanggungjawab masing-masing. Tiada manusia yang benci kepada kasih sayang dan dia akan merindui belaian kasih sayang daripada insan lain atau dia akan mengasihi orang lain sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri. Berapa banyak jiwa yang melayang kerana hilangnya peri kemanusiaan dalam diri dan berapa ramai yang menjadi mangsa fitnah akibat lenyapnya kasih sayang sesama sendiri. Oleh itu, nilai kasih sayang amat penting pada setiap individu.

Keluarga merupakan satu ikatan kemasyarakatan antara suami, isteri dan anak yang berkongsi kehidupan. Nilai kasih sayang dapat dipupuk kerana keluarga adalah sumber akhlak bagi setiap manusia dan tunggak utama untuk membina dan membentuk sikap dan keperibadian. Oleh itu, pembinaan sebuah keluarga merupakan suatu perkara yang amat penting dalam kerangka pembangunan kemanusiaan kerana keluarga membentuk suatu masyarakat kecil yang akhirnya menjadi elemen penentu bagi acuan masyarakat yang bakal lahir serta bersikap kasih sayang.

Kelahiran anak atau generasi muda dalam suasana ikatan keluarga yang gembira dan bahagia akan melahirkan manusia yang mendapat kasih sayang yang cukup. Perasaan kasih sayang dan kemesraan ini sudah cukup untuk membentuk emosi dan jiwanya untuk menjadi seorang insan yang berjiwa tenang dan baik. Pertumbuhan fizikal yang sihat dan seimbang menerusi makan dan minum serta keperluan hidup harian ini juga mampu memberikan satu suasana hidup yang ceria dan menggembirakan bagi seorang anak. Akhirnya, pasti lahir generasi yang baik dan berakhlak terpuji.

Sebuah keluarga yang damai juga dapat berjaya memberikan ketenangan kepada ahlinya. Kemesraan yang wujud sudah cukup untuk memberikan ketenangan awal bagi jiwa yang sedang berkemuncak. Senyuman manis dan tawa ria pasti berjaya meruntuhkan gunung masalah yang dihadapi. Dengan itu, sebarang masalah kehidupan dapat dibancangkan bersama dan berusaha untuk mandapatkan jalan penyelesaiannya.

Jika seorang kanak-kanak dilahirkan di sebuah keluarga yang tidak menpunyai perlindungan kerana ibu dan bapanya tidak mempunyai satu ikatan untuk hidup bersama di bawah satu bumbung. Maka, anak kecil ini pasti hidup dalam keadaan kekurangan kasih sayang kerana hanya menpunyai ibu tanpa bapa atau kedua-duanya. Tekanan emosi dan perasaan sepanjang kehidupan kanak-kanaknya akan menbentuk jiwanya menjadi seorang yang benci kepada masyarakat sekeliling.

Begitu juga, anak-anak remaja yang membesar tanpa sentuhan kasih sayang lantaran kesibukan dalam memenuhi tuntutan sistem hidup yang kejam dan falsafah kebendaan yang tidak mengenal erti kemanusiaan. Dari sudut yang lain pula, ada ibubapa yang rasa bersalah dengan pengabaian lalu menggantikan kekosongan kasih sayang dengan kemewahan dan kebebasan dengan harapan dapat menebus kesalahan mereka dalam ini. Hal ini akan membawa kepada berlakunya perkara yang buruk atau tidak diinginkan seperti kes pembunuhan anak oleh ibubapa atau sebaliknya.

Untuk menjamin kelahiran sebuah keluarga yang harmoni, pembinaan sebuah keluarga mesti dibina di atas asas yang betul dan tepat bermula daripada objektif dan seterusnya langkah-langkah pembinaan tunggak dan binaannya. Selain individu, ibu bapa terutamanya bagi mereka yang menpunyai anak bermasalah diharap dapat menberi perhatian dan bukannya tekanan. Hasil dari itu lahirlah hubungan mesra yang diikat denagan tali kasih yang pasti sukar untuk dirungkai kembali dan akhirnya membentuk sebuah masyarakat yang damai dan tenang.

Bagi lapisan masyarakat pula, setiap lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk menunjukkan perasaan kasih sayang kepada individu lain seperti dalam mambendung kes penderaan atau penbuangan bayi yang dilihat semakin membimbangkan.

Kisah dua orang adik beradik Muhamad Shafril Shamir, 4 tahun, dan Nor Ameelia Syafiqah, setahun, yang ditemui mati dipercayai diracun bapa mereka, Shaari Hamid, 34, sebelum menggantung dirinya. Inilah bentuk kehidupan yang sedang kita tempuhi. Oleh itu, kesedaran orang ramai untuk menunjukkan kasih sayang amatlah penting.

Penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin juga mengajak seluruh lapisan masyarakat menjayakan kempen 'Kami Prihatin' dengan menghebahkan nilai-nilai kasih sayang. Menurutnya, usaha menjayakan kempen tersebut memerlukan penglibatan masyarakat secara menyeluruh dengan setiap individu memainkan peranan dan tanggingjawab masing-masing dalam meningkatkan kesedaran orang ramai.

Akhir kata, nilai kasih sayang perlulah disemaikan dalam setiap individu. Tentukan matlamat anda, memastikan kasih sayang ini sentiasa membara dan mencari cara yang baik yang akan menolong berlaku. Tumpukan kepada akibat yang positif adalah supaya anda ada tenaga untuk sentiasa mara ke depan untuk mencapai matlamat anda untuk menghulurkan kasih sayang serta memjadikan misi sesuatu pangalaman yang menyeronokkan sama dengan kemesraan dan persefahaman antara satu sama lain. Kasih sayang diiringi dengan pelbagai tanggungjawab. Pilihan adalah di dalam tangan anda untuk membantu orang lain supaya menjadi lebih sedar, bersefahaman, sayang-menyayangi di antara satu sama lain.


Suburkan kasih sayang!!!


No comments:

Post a Comment